TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar sekolah jadi sasaran, polis dedah penggunaan dadah sintetik dalam vape semakin meningkat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Julai - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memberi perhatian serius terhadap trend penyalahgunaan vape yang mengandungi dadah sintetik dalam kalangan remaja, khususnya pelajar sekolah, yang disifatkan semakin membimbangkan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima pelbagai maklumat berhubung penggunaan vape oleh pelajar yang disyaki mengandungi bahan terlarang termasuk halusinogen yang dikaitkan dengan ‘magic mushroom’.

“Walaupun kes seperti ini masih dianggap terpencil, ia memberi kesan besar kepada keselamatan pelajar dan perlu ditangani dengan serius serta berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, siasatan JSJN mendapati tiada istilah rasmi ‘dadah magic mushroom’ dalam cecair vape, dan ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia terhadap bahan rampasan mengesahkan tiada unsur tersebut, sebaliknya membuktikan kewujudan bahan sintetik yang disalah guna.

“Pengedar dilihat memanipulasi istilah dengan melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’. Setakat ini tiada bukti rasmi mengenai penjualan cendawan kering sebenar atau campuran dadah dalam coklat dan gula-gula seperti yang tular di media sosial,” katanya.

Menurut Hussein, kebanyakan kes yang dikesan melibatkan penggunaan dadah sintetik dalam vape dan rokok elektronik sebagai medium penyampaian, membuktikan penyalahgunaan jenis ini semakin berkembang dan berbahaya.

Sebagai langkah pencegahan, JSJN mencadangkan supaya elemen pendidikan berkenaan bahaya vape sintetik dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah.

Kempen kesedaran juga perlu dijalankan secara menyeluruh, terutamanya melibatkan pelajar dan ibu bapa.

“Ibu bapa disaran lebih prihatin dan memantau aktiviti anak-anak di sekolah serta berbincang secara terbuka mengenai risiko penggunaan vape dan dadah sintetik,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang meneliti sistem pelesenan baharu yang lebih ketat, termasuk pemantauan kandungan cecair vape melalui ujian makmal.

Penguatkuasaan ke atas penjualan kepada individu bawah umur juga akan diperketat, termasuk pemantauan secara dalam talian.

“Penguatkuasaan kini bukan sahaja tertumpu kepada pasaran fizikal, malah turut merangkumi penjualan digital yang semakin berleluasa,” katanya.

Berdasarkan statistik, sebanyak 64 kes melibatkan rampasan cecair vape mengandungi dadah direkodkan sepanjang tahun 2024, manakala dalam tempoh Januari hingga Mac 2025 sahaja, sudah terdapat 32 kes direkodkan menunjukkan peningkatan purata bulanan yang ketara.

Antara bahan terlarang utama yang dikesan dalam cecair vape termasuk ganja sintetik seperti MDMB-4en-PINACA dan analognya, selain dadah stimulan seperti Methamphetamine dan MDMA.

“Ini jelas menunjukkan trend baharu dalam penyalahgunaan dadah menggunakan peranti elektronik seperti vape yang amat membimbangkan dan perlu dikekang segera,” tegas Hussein. - Media Telus

 

+ - reset