TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar ucap terima kasih atas kesabaran rakyat, mohon maaf lewat tunai sebahagian janji sebelum jadi PM

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesabaran dan sokongan berterusan ketika pelbagai langkah pemulihan ekonomi dan pembaharuan pentadbiran negara dilaksanakan sejak beliau mengambil alih kepimpinan pada penghujung 2022.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, usaha memperbaiki keadaan kewangan negara bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan kerosakan warisan pentadbiran terdahulu, termasuk kerugian besar akibat skandal 1MDB seperti didedahkan wartawan Bradley Hope dan Tom Wright baru-baru ini.

“Perdana Menteri tidak pernah berhenti berusaha memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. Setelah kewangan negara menunjukkan tanda pemulihan, barulah bantuan dapat disalurkan secara berperingkat untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau turut mengulangi permohonan maaf Perdana Menteri atas kelewatan menunaikan sebahagian janji yang dibuat sebelum memegang jawatan, namun menegaskan kesemua tindakan adalah berdasarkan realiti fiskal semasa negara.

Mengulas pengumuman bantuan khas oleh Perdana Menteri semalam, Tunku Nashrul menjelaskan ia termasuk penurunan harga minyak RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter serta pemberian bantuan tunai RM100 secara sekali beri kepada semua rakyat dewasa.

“Inilah kali pertama semua rakyat menerima sesuatu secara menyeluruh tanpa mengira status sosial. Penjimatan harga minyak ini, walaupun kecil, diharap meringankan beban harian rakyat,” katanya.

Tambahnya, kesemua bantuan yang diumumkan akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan pengkreditan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos 2025, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

 

Tunku Nashrul turut menempelak segelintir pimpinan pembangkang termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memperlekeh usaha Kerajaan MADANI, walaupun kerajaan kekal komited membantu rakyat tanpa mengira negeri atau latar belakang.

“Saya ingin bantu Datuk Seri Sanusi memahami perbezaan antara ‘bantuan’ dan ‘belanjawan’. Belanjawan 2026 hanya akan diguna pakai tahun depan, manakala bantuan yang diumumkan semalam adalah inisiatif segera bagi tahun ini,” ujarnya sinis.

Beliau turut menyatakan kesediaan pejabat Perdana Menteri untuk memberi taklimat kepada mana-mana pihak yang memerlukan pemahaman lebih mendalam mengenai pengurusan fiskal negara.

Tunku Nashrul menegaskan, Kerajaan MADANI komited untuk terus menyalurkan lebih banyak manfaat kepada rakyat sekiranya tidak diganggu dengan salah faham atau dakyah politik yang boleh menjejaskan pentadbiran negara.

“Fokus kami adalah pada rakyat. Kerajaan mahu memastikan kemakmuran dapat dikongsi secara menyeluruh, tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik,” katanya.

+ - reset