TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu bapa di Selangor dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika risau kesihatan akibat jerebu

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM, 24 Julai - Ibu bapa dan penjaga di Selangor dibenarkan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini, kata EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.

Menurut beliau, langkah itu diambil sebagai keprihatinan terhadap keselamatan murid, namun ibu bapa perlu memaklumkan ketidakhadiran anak mereka kepada pihak sekolah.

“Pengetua dan Guru Besar diminta untuk memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berkala melalui laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membolehkan tindakan segera dan bersesuaian diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Jamaliah, semua sekolah di Selangor telah menerima garis panduan tindakan sekiranya bacaan IPU melebihi tahap tidak sihat iaitu 100 ke atas. Aktiviti luar kelas perlu ditangguhkan dan sekiranya bacaan IPU melepasi 200, sekolah mesti ditutup serta-merta.

Setakat ini, katanya, tiada kes penyakit berkaitan jerebu direkodkan di Selangor termasuk strok haba, berdasarkan laporan pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

JKNS akan terus memantau situasi dan memberi maklum balas dari semasa ke semasa mengenai sebarang perkembangan kesihatan awam berkaitan fenomena jerebu.

Situasi jerebu di beberapa kawasan di Selangor menunjukkan trend penurunan bacaan IPU berbanding sebelumnya. Petaling Jaya mencatatkan bacaan 83, Klang (80), Banting (81) dan Johan Setia (88), berbanding bacaan melebihi 150 sebelum ini.

Sementara itu, Shah Alam mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu 90, manakala Kuala Selangor kekal pada tahap tidak sihat dengan bacaan 126, meningkat berbanding semalam.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata JAS Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka sebagai langkah menghadapi cuaca panas dan kering, termasuk risiko pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara.

“Surat arahan telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemilik ladang agar melaksanakan kawalan ketat dan meningkatkan kempen kesedaran awam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa rondaan berkala sedang dijalankan di kawasan berisiko tinggi selain pelaksanaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di beberapa kawasan panas (hotspot) yang dikenal pasti.

+ - reset