TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

198 warga asing ditahan di KLIA, tiada hala tuju jelas masuk Malaysia - Shuhaily

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG, 25 Julai – Seramai 198 warga asing ditahan di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati cuba memasuki Malaysia tanpa tujuan jelas dan tidak memenuhi keperluan asas seperti kewangan mencukupi serta tempat penginapan.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil saringan pihak berkuasa mendapati kesemua individu yang ditahan gagal memberikan alasan munasabah mengenai lawatan mereka ke negara ini.

Menurut beliau, kesemua mereka akan dihantar pulang ke negara asal dengan segera mengikut prosedur Not to Land (NTL) dan tanggungjawab membawa mereka keluar terletak di bawah syarikat penerbangan yang membawa mereka masuk.

Daripada keseluruhan jumlah yang ditahan, seramai 128 orang ditahan di Terminal 1 manakala 70 orang lagi di Terminal 2. Di Terminal 1, majoriti individu yang ditahan merupakan warga Bangladesh, selain turut melibatkan beberapa warga Pakistan, Indonesia dan Syria.

Sementara itu, penahanan di Terminal 2 membabitkan warga Indonesia, India, Pakistan dan Vietnam.

Dalam sidang media yang sama, Mohd Shuhaily turut mendedahkan penemuan mengejutkan apabila hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit beberapa penumpang mendapati terdapat gambar pegawai penguat kuasa AKPS yang dipercayai digunakan oleh sindiket untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Gambar tersebut dipercayai dihantar oleh individu yang pernah ditahan sebelum ini dan kemudiannya dijadikan rujukan oleh sindiket yang mengatur kemasukan warga asing ke Malaysia secara tidak sah.

Beliau berkata, tindakan sindiket itu jelas menunjukkan mereka semakin licik dan menyesuaikan strategi berdasarkan maklumat balas yang diperoleh untuk mengelak daripada ditahan.

Menurut beliau, usaha penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan sebarang percubaan menyeludup masuk warga asing ke negara ini dapat ditangani dengan tegas dan berkesan.

Mohd Shuhaily menegaskan bahawa AKPS tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan sempadan negara dan pihaknya akan meneruskan operasi secara konsisten untuk membanteras cubaan penyeludupan manusia yang semakin kompleks dan tersusun.

+ - reset