TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tembak mati 2 warga asing jadi dalang kes samun bersenjata di Cheras, 13 lagi ahli masih diburu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Dua lelaki warga asing yang disyaki dalang utama kumpulan samun bersenjata dan pecah rumah sejak 2022 ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembak di Taman Pertama, Cheras awal pagi tadi.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic dikesan pasukan JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang sekitar jam 3.45 pagi ketika sedang menjalankan tugasan cegah jenayah menerusi Op Aman 6.

Siasatan mendapati kenderaan digunakan suspek adalah antara yang dilaporkan hilang di Subang Jaya pada tahun 2023.

“Semasa cubaan memintas dilakukan, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan pasukan polis dan melepaskan tembakan ke arah anggota, memaksa pihak polis melepaskan tembakan balas bagi mempertahankan diri,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Kedua-dua suspek disahkan maut di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mereka menemui dua pucuk pistol jenis Revolver dan Semi Auto, sejumlah dadah serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah seperti topeng muka, sarung tangan dan pemotong besi.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati suspek merupakan dalang kepada sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah yang melibatkan sekurang-kurangnya 15 ahli warga asing.

Kumpulan itu dipercayai aktif menyasarkan kediaman mewah seperti banglo, rumah jenis 'corner lot' dan 'end lot' di sekitar Lembah Klang selain turut beroperasi di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

“Kami percaya kedua-dua suspek sedang dalam perancangan melakukan satu lagi jenayah samun berdasarkan barangan yang dirampas,” ujarnya.

Menurut beliau, polis kini memburu baki 13 lagi ahli kumpulan yang dipercayai masih bebas.

Semua JSJ di peringkat Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan telah digerakkan untuk operasi mengesan saki-baki ahli kumpulan jenayah berkenaan.

Walaupun siasatan mendapati kumpulan ini dikaitkan dengan lebih 50 kes samun dan pecah rumah, pihak polis tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar lebih tinggi memandangkan terdapat mangsa yang tidak membuat laporan.

Polis menyeru orang awam yang pernah menjadi mangsa kepada kumpulan ini supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sebarang maklumat berkaitan individu atau aktiviti mencurigakan juga amat dialu-alukan bagi membantu siasatan.

+ - reset