TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan teliti cadangan had tempoh khidmat Perdana Menteri kepada 10 tahun – Azalina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal Parlimen atau maksimum 10 tahun masih dalam peringkat kajian dan penelitian menyeluruh oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan tetap terbuka dan komited dalam mempertimbangkan sebarang cadangan yang bertujuan menambah baik sistem pentadbiran dan tadbir urus negara.

Menurut beliau, satu kajian awal berhubung perkara itu telah dijalankan dan hasil dapatan awal telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri menerusi Nota Jemaah Menteri bertarikh 19 Mac lalu.

“Cadangan ini melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, dan turut menyentuh kuasa budi bicara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, penelitian menyeluruh dan holistik diperlukan,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH – Pasir Gudang) yang meminta penjelasan berhubung rancangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh khidmat Perdana Menteri kepada hanya dua penggal.

Azalina turut menjelaskan bahawa pelaksanaan cadangan ini memerlukan pandangan dan persetujuan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan-kerajaan negeri dan parti-parti politik di peringkat Persekutuan serta negeri.

“Jemaah Menteri juga telah memutuskan agar perbincangan lanjut diadakan bersama semua parti politik, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi mencapai kesepakatan awal sebelum sebarang langkah susulan dilakukan,” katanya.

Cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri merupakan antara langkah reformasi institusi yang dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu, dalam usaha memastikan kestabilan politik jangka panjang dan ketelusan pentadbiran negara.

 

+ - reset