TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MEF puji kepimpinan Anwar jayakan gencatan senjata Thailand - Kemboja

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memuji usaha diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya merintis persetujuan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah berani dan pantas Perdana Menteri itu berjaya menyelesaikan ketegangan yang memuncak di sempadan kedua-dua negara ASEAN tersebut.

"MEF mewakili para majikan Malaysia, termasuk yang mempunyai operasi serantau, rantaian bekalan serta pelaburan di Thailand dan Kemboja, merakamkan penghargaan atas campur tangan diplomatik berani YAB Perdana Menteri dan penyelesaian segera terhadap ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, gencatan senjata ini disifatkan sebagai perkembangan amat diperlukan dalam suasana perniagaan global yang semakin mencabar, antaranya akibat ketidaktentuan perdagangan dunia serta ketegangan geopolitik termasuk tarif Amerika Syarikat.

Thailand merupakan rakan dagangan utama Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan melebihi RM100 bilion setahun, manakala Kemboja menjadi rakan dagang yang semakin berkembang dengan pelaburan Malaysia mencecah RM12.6 bilion dalam sektor seperti pembinaan, perbankan, pertanian dan telekomunikasi.

"Sebarang ketidakstabilan di Thailand dan Kemboja boleh mengancam kelangsungan perniagaan, rantaian bekalan dan keyakinan pelabur serantau," katanya lagi.

Syed Hussain yang juga Presiden Konfederasi Majikan Asia-Pasifik (CAPE) berkata, penyelesaian pantas ini turut meredakan kebimbangan ahli-ahli CAPE yang mempunyai kepentingan di kedua-dua negara.

"MEF memuji komitmen Thailand dan Kemboja dalam menyelesaikan konflik secara aman menerusi platform ASEAN dan merakamkan penghargaan kepada YAB Datuk Seri Anwar atas tindakan diplomasi membina yang meletakkan Malaysia di pusat penyelesaian damai serantau," katanya.

Tambahnya, MEF menyokong semua usaha serantau yang dapat melindungi kelangsungan perniagaan, menggalakkan kerjasama ekonomi intra-ASEAN dan menjamin kestabilan jangka panjang. - Media Telus

+ - reset