TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mikrofon Ahli Parlimen Hulu Langat dimatikan gara-gara berbahas di luar skop soalan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pagi tadi menjadi tegang apabila mikrofon Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dimatikan oleh Timbalan Speaker, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas beliau enggan mematuhi peringatan agar tidak berbahas di luar skop soalan asal.

Insiden berlaku ketika Mohd Sany mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkenaan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap aduan berkait kenyataan di media sosial.

Namun, beliau menggunakan ruang itu untuk menyentuh isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan himpunan baju hitam baru-baru ini, sebelum mencabar pembangkang mengemukakan usul rasmi di Parlimen.

Tindakan itu mencetuskan kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang membantah, mempersoal kaitan kenyataan Mohd Sany dengan soalan asal.

“Saya sudah beri ruang untuk mukadimah, tetapi bukan untuk berbahas. Ini telah meleret. Maka saya tamatkan ruang untuk blok kerajaan,” tegas Ramli.

Walaupun diberikan peluang kedua, Mohd Sany terus menyentuh isu doa laknat oleh peserta himpunan pembangkang serta mendakwa Ahli Parlimen Pasir Mas memuat naik karikatur menghina Perdana Menteri.

Memandangkan beliau terus melanggar peraturan, mikrofon Mohd Sany akhirnya dimatikan dan sidang diteruskan dengan soalan seterusnya. – Media Telus

+ - reset