Berita Berita
Murid lelaki trauma dibuli siber selepas dituduh pukul rakan sekolah

SHAH ALAM 29 Julai – Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dari Terengganu kini mengalami trauma teruk termasuk kemurungan, takut untuk keluar rumah dan penurunan berat badan selepas menjadi mangsa buli siber dan fitnah di media sosial.
Ibunya, Fatimah Lailati Omar, 52, berkata tuduhan tidak berasas terhadap dirinya dan anaknya mencetuskan gelombang kecaman, ugutan serta penghinaan terbuka dalam kalangan masyarakat, hingga memberi kesan emosi yang mendalam kepada anaknya.
“Anak saya bukan sahaja dibuli di ruang maya, malah turut dipulaukan dalam kalangan masyarakat akibat tuduhan yang tidak berasas ini,” katanya ketika ditemui di Bukit Jelutong, di sini semalam.
Fatimah mendakwa dua individu memainkan peranan utama menyebarkan kenyataan berunsur fitnah serta maklumat peribadi mereka di media sosial.
Jelasnya, laporan polis terhadap enam individu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu pada 19 Julai lalu dan surat tuntutan dihantar kepada dua individu terbabit pada 27 Julai, dengan tempoh tujuh hari diberikan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial.
“Saya percaya kepada proses undang-undang. Segala bukti akan dikemukakan di mahkamah,” ujar Fatimah yang juga bekas calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Bukit Tunggal pada PRU-14.
Beliau berkata tindakan undang-undang ini bertujuan memberi pengajaran kepada individu tidak bertanggungjawab agar lebih berhati-hati, terutamanya dalam hal melibatkan kanak-kanak bawah umur.
“Saya harap tindakan ini menjadi peringatan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencemarkan nama orang lain. Hormatilah hak kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi,” tambahnya.
Sementara itu, menurut kenyataan terdahulu, seorang murid perempuan tahun enam dari sebuah sekolah rendah di Terengganu didakwa menjadi mangsa buli hingga mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital selepas ditendang di bahagian perut dalam kejadian 21 Mei lalu.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memaklumkan siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada salah faham antara murid lelaki dan perempuan yang membawa kepada pergaduhan.
JPNT turut memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkenaan secara harmoni demi kesejahteraan semua pihak terlibat. – Media Telus
Berita berkaitan
July 29, 2025, 6:54 pm
Polis siasat hantaran fitnah terhadap artis lelaki terkenal
July 29, 2025, 6:39 pm
Malaysia tidak agresif dalam isu Laut Sulawesi – Anwar
July 29, 2025, 6:16 pm
Anggota polis wanita maut nahas libatkan kereta langgar lampu merah di Iskandar Puteri
July 29, 2025, 5:59 pm
Bedah siasat sahkan budak ditanam dalam belukar mati dijerat 'cable tight' - Polis
July 29, 2025, 4:51 pm
Kanak-kanak bawah 13 tahun mungkin dilarang miliki akaun media sosial - Fahmi
July 29, 2025, 4:07 pm
Hutang kerajaan cecah RM1.3 trilion tampung perbelanjaan pembangunan
July 29, 2025, 3:07 pm
Nama kena petik, bekas Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha nafi terlibat kes Zara Qairina
July 29, 2025, 2:55 pm
'Liwat hanyalah sebab-musabab' - Puad yakin Tun M akan terus gali isu untuk jatuh Anwar
July 29, 2025, 2:42 pm
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dilantik Pengerusi The BrandLaureate
July 29, 2025, 2:33 pm