TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Projek Residensi Hektar Gombak disambung semula selepas terbengkalai tujuh tahun

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Julai – Kerja pembinaan Projek Residensi Hektar Gombak yang terbengkalai sejak 2018 dimulakan semula hari ini selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima suntikan dana berjumlah RM125 juta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dana itu digunakan sebagai modal baharu untuk menyelamatkan projek berkenaan yang melibatkan pembinaan 2,400 unit kediaman mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (Rumawip).

“Projek ini antara yang terbesar dan sepatutnya siap pada 2022, namun berdepan pelbagai masalah hingga terbengkalai. Ramai pembeli terkesan.

“Dengan suntikan RM125 juta ini, kerja pembinaan dimulakan semula hari ini oleh kontraktor utama baharu,” katanya pada sidang media khas sempena lawatan ke tapak projek di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib.

Kor Ming turut memberi amaran kepada pemaju projek agar menyerahkan kunci kepada pembeli pada tahun 2027 seperti ditetapkan atau berdepan tindakan disenaraihitamkan.

“Ini peluang terakhir. Jika pemaju gagal serah kunci menjelang 2027, saya akan guna kuasa sebagai menteri untuk menyenaraihitamkan mereka termasuk ahli lembaga pengarah syarikat.

“Dana sudah tersedia, jadi tiada alasan lagi,” tegasnya.

Tambah beliau, KPKT akan terus memantau pelaksanaan projek ini supaya pemaju mematuhi pelan pemulihan yang ditetapkan, demi memastikan kelegaan dan keyakinan pembeli.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) ditubuhkan di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), sebanyak 1,127 projek berjaya dipulihkan melibatkan 135,211 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM106.48 bilion setakat Mei lalu. – Media Telus

+ - reset