TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM bentang RMK-13 tengah hari ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 Julai – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat dengan fokus kepada pembangunan menyeluruh yang memberi manfaat kepada rakyat.

Anwar berkata, RMK-13 dirangka sebagai pelan lima tahun bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang berteraskan nilai ihsan, keadilan dan kemanusiaan, demi meletakkan asas kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad lebih gemilang.

"Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat... Diharapkan kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, penyerahan rasmi dokumen RMK-13 telah diterima semalam, sekali gus menandakan berakhirnya fasa penyediaan pelan tersebut.

RMK-13 juga menekankan penglibatan pelbagai pemegang taruh merentasi sektor dan wilayah termasuk kerajaan-kerajaan negeri, bagi memastikan suara rakyat diangkat dalam perancangan masa depan negara.

Sementara itu, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, RMK-13 memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan negara selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.

“Prinsip utama RMK-13 adalah ‘raising the ceiling and raising the floor’ – merancakkan pertumbuhan ekonomi sambil memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

“Fokus turut diberikan kepada sektor penghiliran dan pembangunan industri bernilai tambah,” katanya.

Anwar turut mengalu-alukan perbahasan serta cadangan konstruktif daripada semua ahli Parlimen untuk memperkukuh dasar dan hala tuju RMK-13 demi kebaikan rakyat dan negara. – Media Telus

+ - reset