TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kelulusan permit masuk pasangan warga asing adil dan seimbang – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa kelulusan permit masuk bagi pasangan warga asing kepada rakyat Malaysia dilaksanakan secara adil dan seimbang tanpa mengira jantina, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid (PH), yang membangkitkan isu bahawa syarat Pemastautin Tetap (PR) berasaskan sistem mata dilihat lebih ketat terhadap suami bukan warganegara.

Menurut Syerleena, keadaan itu meletakkan beban tidak seimbang kepada isteri warga Malaysia dan menyeru agar pendekatan yang lebih saksama dan sensitif terhadap kestabilan keluarga dwinegara dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan bahawa tiada perbezaan ketara dalam kelulusan antara permohonan daripada kategori suami dan isteri kepada warganegara, berdasarkan data kelulusan yang diputuskan oleh KDN dan Jabatan Imigresen.

“Berdasarkan peratusan kelulusan permit masuk yang diputuskan, jumlah berkenaan menunjukkan tiada perbezaan ketara antara permohonan daripada kategori suami dan isteri kepada warganegara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau turut memaklumkan bahawa KDN bersama Jabatan Imigresen telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu tunggakan permohonan Permit Masuk yang tertangguh sejak 2013 hingga 2023.

“Imigresen menyelesaikan kesemua 19,205 permohonan tunggakan Permit Masuk membabitkan tempoh 10 tahun tersebut.

"Daripada jumlah itu, 14,918 permohonan adalah daripada kategori isteri kepada warganegara, manakala 4,287 adalah daripada kategori suami kepada warganegara,” jelasnya.

Tambah beliau, kadar kelulusan bagi kategori isteri kepada warganegara adalah sebanyak 22.3 peratus, manakala 22.7 peratus permohonan bagi kategori suami kepada warganegara telah diluluskan.

Statistik itu, kata Saifuddin, menunjukkan bahawa pertimbangan dibuat secara seimbang tanpa kecondongan terhadap mana-mana jantina.

+ - reset