TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat pelajar digantung, 14 diberi amaran insiden buli tular – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

PUTRAJAYA 30 Julai – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap 18 pelajar yang terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, seramai empat pelajar digantung sekolah manakala 14 lagi diberikan surat amaran selepas siasatan dan tindakan disiplin dijalankan.

Beliau berkata, tindakan tersebut dilaksanakan mengikut prosedur tatatertib yang ditetapkan KPM, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman institusi pendidikan terus terpelihara.

“Empat murid yang digantung akan mengikuti program khidmat masyarakat yang dikendalikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya dalam satu hantaran di media sosial selepas mengadakan lawatan ke sekolah terbabit, Rabu lalu.

Menurut beliau, sesi kaunseling turut dijalankan ke atas pelajar yang terlibat sebagai sebahagian daripada usaha intervensi dan pemulihan, bertujuan membentuk semula tingkah laku mereka dengan menerapkan nilai-nilai murni.

“Saya pertegaskan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan warga sekolah. Langkah-langkah pencegahan perlu sentiasa diberi keutamaan bagi menjamin ekosistem yang selamat dan sejahtera di sekolah,” tegasnya.

Rakaman pergaduhan tersebut yang menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki terlibat dalam aksi ganas dipercayai berlaku di perkarangan sekolah berkenaan, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan netizen.

KPM menegaskan komitmennya untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi mendidik dan membentuk semula pelajar ke arah sahsiah yang positif, di samping memastikan disiplin terus menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan negara. - Media Telus 

+ - reset