TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis sahkan tiada unsur jenayah, wanita dijumpai meninggal dunia di Sungai Klang dilaporkan hilang sehari sebelum

By
|
Kongsi
image

 

SUBANG JAYA 30 Julai - Misteri penemuan mayat seorang wanita tempatan di Sungai Klang kelmarin akhirnya terjawab apabila hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah mahupun kesan pergelutan pada tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 23 tahun itu dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada jam 8 pagi semalam.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada tanda-tanda pergaduhan atau perbuatan jenayah pada tubuh mangsa. Bagaimanapun, laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh kerana masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan mendapati mangsa merupakan penuntut di sebuah kolej swasta dan dilaporkan hilang oleh kakaknya pada 26 Julai lalu.

“Pengadu memaklumkan adiknya ada meminta dijemput di Stesen LRT Putra Heights sekitar jam 12 tengah hari pada 25 Julai lalu. Namun, dia gagal dihubungi sehingga keesokan harinya sebelum laporan polis dibuat,” ujarnya.

Pemeriksaan lanjut polis menemui satu anak kunci di poket seluar mangsa yang membawa kepada siasatan ke sebuah rumah di Jalan Klang Lama dipercayai didiami mangsa.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa berada di kawasan tersebut sebelum dilaporkan hilang. Waris turut dipanggil untuk pengecaman dan mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik mangsa,” jelasnya.

Cap jari mangsa telah dihantar kepada pihak berkaitan untuk pengesahan identiti sebelum mayat diserahkan kepada waris.

Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

+ - reset