TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja 14 tahun mengaku salah tumbuk guru, mahkamah arah laporan akhlak

By
|
Kongsi
image

KAJANG 30 Julai – Remaja lelaki berusia 14 tahun yang tular selepas menumbuk gurunya dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin, mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Menurut pertuduhan, pelajar peralihan tingkatan satu itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sekolah berkenaan pada jam 4.48 petang, Isnin lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin mengendalikan prosiding, manakala tertuduh diwakili peguam, S. Priyalatha.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin memandangkan kes itu serius dan mendapat perhatian umum di media sosial.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan tertuduh adalah pesalah juvana yang masih bersekolah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 11 September ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, pengamal media tidak dibenarkan hadir dalam mahkamah kerana tertuduh merupakan individu bawah umur.

Ibu bapa remaja itu turut hadir mengikuti prosiding.

Ibu tertuduh yang berusia 40-an ketika ditemui memaklumkan bahawa anaknya merupakan anak tunggal yang tinggal bersamanya selepas berpisah dengan suami.

Katanya, anaknya kesal atas perbuatan tersebut dan telah memohon maaf kepada guru terbabit.

Semalam, media melaporkan pelajar lelaki itu ditahan susulan laporan polis dibuat oleh guru lelaki berkenaan yang mendakwa diugut dan ditumbuk dalam kejadian yang berlaku di sekolah.

Sebelum itu, tular di media sosial satu rakaman berdurasi 38 saat menunjukkan pertengkaran antara dua individu, termasuk aksi menumbuk pipi oleh seorang pelajar terhadap lelaki dipercayai guru.

+ - reset