TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hati-hati, polis terima 3 laporan kes pukau pelancong di Pulau Pinang, suspek ajak berbual sebelum minta duit

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN, 4 Ogos – Polis Pulau Pinang menahan lima individu warga asing dipercayai terbabit dalam kejadian pukau membabitkan pelancong asing dalam operasi dikenali sebagai ‘Op Tourist’, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, penahanan susulan tiga laporan polis diterima daripada mangsa warga Taiwan, Belanda dan Syria yang mendakwa menjadi mangsa pukau di sekitar Pulau Tikus dan Jalan Penang antara 30 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Menurut beliau, kelima-lima suspek, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 19 hingga 35 tahun yang berasal dari Asia Barat, ditahan di kawasan tumpuan orang ramai di Gurney Plaza.

“Dua daripada mereka didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

“Turut dirampas dalam operasi ini adalah pelbagai mata wang asing, dua buah kenderaan dan sepaket dadah jenis ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu dipercayai menyasarkan pelancong asing dengan mendekati mangsa secara ramah dan memulakan perbualan, sebelum meminta mangsa menunjukkan wang tunai mereka.

Mangsa hanya menyedari kehilangan wang setelah suspek beredar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Alwi menegaskan komitmen Polis Pulau Pinang dalam memastikan keselamatan pelancong dan orang awam di negeri ini, selain menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang tidak dikenali.

Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes boleh disalurkan ke talian Hotline JSJ Pulau Pinang di 04-2221624 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, kelima-lima suspek termasuk sepasang suami isteri direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan, susulan permohonan polis yang diketuai Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

+ - reset