TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PU Rahmat dedah layanan kejam dan penghinaan rejim Israel ketika ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Lima sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan pengalaman perit mereka ketika berada dalam tahanan rejim Israel, termasuk diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan, dihina serta dinafikan hak asasi manusia.

Pendedahan itu dibuat menerusi video yang dikongsikan oleh peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar, di laman Facebook beliau pada Isnin.

Pendakwah, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, berkata beliau dibogelkan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh tahanan, termasuk ketika berada di atas kapal, pusat imigresen dan penjara, atas alasan kononnya untuk memastikan tiada senjata disembunyikan.

“Tindakan itu jelas menunjukkan ketakutan melampau mereka (rejim Zionis) terhadap peserta GSF,” katanya yang turut mendedahkan beliau disoal siasat secara provokatif mengenai Hamas dan Ikhwanul Muslimin.

Aktivis, Iylia Balqis Suhaimi pula menceritakan bagaimana beliau dan beberapa sukarelawan lain disumbat ke dalam sel kecil bersama 15 individu dari pelbagai negara.

Beliau berkata, peserta GSF turut diganggu berulang kali apabila tentera Israel memanggil nama mereka tanpa sebab.

“Lebih teruk, kami tidak diberikan air bersih dan terpaksa minum air daripada tandas. Ada peserta jatuh sakit dan mengalami cirit-birit kerana air itu. Doktor pula tidak dibenarkan masuk, dan semua janji rawatan hanyalah palsu,” katanya.

Sukarelawan lain, Sul Aidil Sudi, turut menyatakan bahawa mereka diperlakukan seperti bukan manusia serta diprovokasi dengan pelbagai soalan tidak berfaedah.

“Saya ditanya kenapa datang ke sini (menyertai misi GSF). Bila saya jawab untuk misi kemanusiaan, mereka sindir dan kata kami bodoh. Mereka ganggu mental kami, tidak bagi rehat langsung — itulah perangai haram Israel,” katanya.

Sementara itu, Haikal Abdullah berkata sukarelawan bukan sahaja diejek dan ditertawakan setiap kali nama mereka disebut, malah barangan peribadi turut dicampak sesuka hati oleh tentera Israel.

“Kami duduk lima jam dalam bas sejuk dengan tangan diikat dan mata ditutup. Bila malam, mereka kejutkan kami dan pindahkan ke sel lain. Sel yang asalnya ada 12 orang jadi 24 orang. Mereka sengaja buat kami penat,” ujarnya.

Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee turut berkongsi pengalaman tidak diberi air minuman bersih sepanjang dalam tahanan.

Apabila mereka memprotes dan menuntut air bersih, katanya, tentera Israel bertindak kasar.

“Saya ditarik dan diseret oleh tentera wanita sebelum ditolak serta dimalukan di hadapan tahanan lain. Kami hanya meminta air bersih kerana ada yang hampir pengsan akibat dehidrasi,” katanya.

Kelima-lima mereka merupakan antara 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel pada Khamis lalu dan dibawa ke Penjara Ketziot di Gurun Negev sebelum dibebaskan kelmarin. Mereka kini berada di Istanbul, Turkiye.

+ - reset