TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Dunia ini palsu, saya sudah menang” – Nota ditemui bersama suspek tikam rakan sekolah

By
|
Kongsi
image


 

 

SHAH ALAM 15 Okt - Satu nota bertulis mesej ganjil — “Dunia ini palsu. Saya sudah menang.” — ditemui bersama seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan selepas menikam rakan sekolahnya hingga maut di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan penemuan nota itu ketika tangkapan dilakukan terhadap suspek.

“Ya, saya sahkan pihak polis ada menemui nota ini. Ia dirampas bersama suspek ketika pemeriksaan awal dijalankan dan bukan di dalam tandas tempat kejadian berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, kandungan nota itu kini sedang disiasat secara menyeluruh termasuk kemungkinan kaitan dengan motif kejadian.

“Berkaitan kandungan dalam nota ini, ia masih dalam siasatan lanjut pihak polis. Siasatan merangkumi semua aspek termasuk latar belakang suspek dan mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Shazeli menjelaskan setakat ini, pihaknya tidak mengesan sebarang unsur buli yang membawa kepada kejadian tragis itu.

“Setakat ini, tiada unsur buli dikesan dalam kejadian ini. Polis memandang serius insiden ini dan menyeru semua pihak termasuk sekolah serta masyarakat untuk bersama memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas dipercayai ditikam suspek dalam kawasan sekolah berkenaan. Kes itu kini disiasat secara terperinci oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuk aspek psikologi dan latar sosial suspek.

+ - reset