TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ong Kian Ming cadang bincang pengampunan penuh Najib atas faktor kemanusiaan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Dis– Pemimpin DAP, Ong Kian Ming berpandangan sudah tiba masanya satu perbincangan serius dimulakan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berasaskan pertimbangan kemanusiaan dan kematangan politik negara.

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, Najib telah dihukum dan menjalani lebih tiga tahun penjara sejak 23 Ogos 2022, justeru tidak wajar mana-mana pihak meraikan atau menambah penderitaan susulan keputusan mahkamah berhubung Titah Adendum baru-baru ini.

“Saya fikir sudah tiba masanya, mungkin menjelang tahun baharu 2026, untuk kita memulakan perbincangan serius mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap Najib,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Kian Ming, beliau sebelum ini menyifatkan pengampunan penuh terhadap Najib sebagai ‘garis merah’ bagi DAP pada 2023, namun pendirian itu kini berubah selepas lebih dua tahun berlalu.

“Lebih dua tahun kemudian, khususnya selepas pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, saya kini kurang pasti tentang ‘garis merah’ tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak pelaksanaan Titah Adendum adalah selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana perkara itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan keputusan berkenaan wajar dihormati sebagai ketetapan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu tidak seharusnya diraikan secara terbuka memandangkan Najib telah menjalani hukuman penjara dan berdepan isu kesihatan yang sering dibangkitkan oleh keluarganya.

Kian Ming juga menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan meraikan keputusan mahkamah secara berlebihan boleh memburukkan lagi perpecahan masyarakat, terutama dalam suasana politik yang semakin dipengaruhi sentimen perkauman dan keagamaan.

Jelas beliau, perbincangan mengenai pengampunan penuh tidak bermaksud melupakan kesalahan lampau, sebaliknya sebagai sebahagian usaha ke arah pendamaian politik dan kematangan demokrasi.

“Dalam semangat Krismas, pendekatan kemaafan tanpa melupakan kesalahan lalu wajar dipertimbangkan demi perdamaian dan masa depan negara,” katanya.

+ - reset