TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Surat letak jawatan Hamzah Zainudin tular, Pejabat Ketua Pembangkang sahkan palsu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Dis - Pejabat Ketua Pembangkang mengesahkan bahawa surat peletakan jawatan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang tular di media sosial sejak malam tadi adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak berkenaan.

Pengesahan itu dibuat oleh pegawai di Pejabat Ketua Pembangkang ketika dihubungi bagi mengulas kesahihan dokumen berkenaan.

Terdahulu, dua surat yang menggunakan kepala surat Pejabat Ketua Pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tersebar luas di media sosial, mendakwa Hamzah telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Kandungan surat terbabit memaklumkan kononnya pelepasan jawatan itu dibuat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mengambil kira realiti dan keperluan politik semasa.

Surat sama turut mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan menyeluruh bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan Perikatan Nasional (PN) selari dengan hala tuju baharu di bawah pengerusi yang bakal dilantik.

Semalam, Muhyiddin mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Selain Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Langkah sama turut diambil Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker.

+ - reset