TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sabri Zali nafi tuduhan salah guna kuasa, anggap dakwaan Chegubard jejas institusi pertahanan

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 2 Jan - Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang dikaitkan dengan beliau, sambil menegaskan tuduhan berkenaan bersifat fitnah serta berpotensi mencemarkan nama institusi pertahanan negara.

Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang dilemparkan oleh aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, yang mengaitkan Sabri dengan isu salah laku termasuk pendedahan beberapa dokumen yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa.

Dakwaan tersebut turut mengheret nama PUSPAHANAS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penasihat perundangan Sabri, Mohd Firdaus Jumaludin berkata, semua tuduhan yang dibuat adalah tidak benar, mengelirukan dan bersifat fitnah serius terhadap individu serta institusi strategik negara.

Menurutnya, dakwaan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah boleh menjejaskan reputasi dan kredibiliti institusi pertahanan yang menjadi tunjang keselamatan negara.

"Datuk Sabri Zali tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa," katanya dalam sidang media di PUSPAHANAS, hari ini.

Dalam sidang media sama, Mohd Firdaus turut menafikan kesahihan dokumen-dokumen yang didakwa dimiliki oleh Chegubard termasuk yang dikatakan sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.

"Datuk Sabri Zali tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan, mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut," tegasnya.

Tambah beliau, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks atau dimanipulasi tidak boleh dijadikan bukti untuk menyokong dakwaan salah laku.

"Dokumen sedemikian terbuka untuk diubah suai, direka-reka atau dimanipulasi," katanya.

Mohd Firdaus turut memaklumkan bahawa Sabri mengekalkan sepenuhnya hak undang-undang termasuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.

Bagaimanapun, katanya, sebarang isu berkaitan hanya akan dijawab secara rasmi dan mengikut lunas undang-undang.

"Datuk Sabri Zali tidak bertanggungjawab serta tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif sensasi," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Chegubard supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemarkan reputasi individu serta menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi keselamatan negara.

Sebelum ini, pada Disember lalu, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Sabri terbabit dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang didakwa merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (PETA) pada Mei 2024.

+ - reset