Berita Berita
BNM pastikan kesiapsiagaan bank sebelum integrasi MyDigital ID
KUALA LUMPUR 23 Jan - Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan tahap kesiapsiagaan semua bank serta pemberi perkhidmatan kewangan berada pada tahap keselamatan yang tinggi sebelum pengintegrasian MyDigital ID dilaksanakan sepenuhnya.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata BNM bersama sektor kewangan dan MyDigital ID Sdn Bhd (MyDID) melaksanakan kerjasama melalui pengujian berfasa dalam persekitaran terkawal atau ‘Sandbox’ bagi memastikan pelaksanaan yang konsisten dan berkesan.
Menurut beliau, Sandbox fasa pertama bertujuan menguji integrasi identiti digital dalam aplikasi perbankan serta memperluas penggunaan MyDigital ID bagi tujuan pengujian electronic Know Your Customer (e-KYC), iaitu proses pengesahan identiti pelanggan bagi mencegah penipuan.
“Pengujian ini akan memastikan semua risiko dan kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani, sekali gus menjamin proses pendaftaran yang lancar dan selamat bagi membina kepercayaan pengguna,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai langkah kerajaan memastikan kesediaan bank dan penyedia perkhidmatan kewangan dari segi pensijilan keselamatan, pematuhan data peribadi serta standard audit bagi integrasi MyDigital ID.
Mengulas lanjut, Anwar berkata seramai 15 institusi perbankan menyertai Sandbox fasa pertama, dengan enam institusi berjaya melaksanakan integrasi dan lapan pengujian e-KYC direkodkan berjaya.
Katanya, Sandbox fasa pertama dimuktamadkan pada Jun 2025, manakala Sandbox fasa kedua kini sedang dilaksanakan bagi menguji teknologi baharu MyDigital ID iaitu e-pengesahan (e-verification).
“Fasa ini melibatkan mekanisme pengesahan identiti pengguna semasa pembukaan akaun baharu serta pelaksanaan transaksi perbankan secara selamat dalam masa nyata.
“Perkhidmatan ini akan memperkukuh penyelesaian e-KYC vendor sedia ada melalui pengesahan nama pengguna, nombor kad pengenalan dan imej swafoto yang dibandingkan dengan rekod dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa memerlukan perubahan kepada vendor e-KYC sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, sistem e-KYC berkenaan berfungsi sebagai pengesahan identiti bagi transaksi kewangan bernilai tinggi serta kegunaan lain yang memerlukan tahap jaminan identiti yang kukuh, selaras dengan keperluan keselamatan dan pematuhan data peribadi.
Anwar memaklumkan Sandbox fasa kedua dijangka berakhir pada Mac ini dan seterusnya bersedia memasuki fasa pelaksanaan secara lebih meluas, tertakluk kepada keputusan serta tahap kesiapsiagaan institusi perbankan terlibat.
Secara keseluruhan, beliau berkata integrasi MyDigital ID dijangka meningkatkan kecekapan pengesahan identiti, mengurangkan risiko penipuan serta memperkukuh pengalaman pelanggan dalam sektor kewangan.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh negara yang melibatkan kerjasama kerajaan, Kementerian Kewangan, MyDID, BNM, NACSA dan institusi kewangan, dengan penekanan berterusan terhadap aspek keselamatan, privasi dan tadbir urus yang kukuh.
“BNM bersama Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta MyDigital ID Sdn Bhd akan bekerjasama rapat bagi memastikan penggunaan MyDigital ID dapat dilaksanakan oleh semua bank berlesen, syarikat insurans, pengendali takaful, penerbit e-wang serta operator sistem pembayaran secara berperingkat dan teratur,” katanya.
Berita berkaitan
September 17, 2026, 5:58 pm
‘Tenang-tenang Pak’ – Anwar puji pemimpin Sabah, Sarawak depan Zahid
September 17, 2026, 4:55 pm
‘Kalau tak lagi iktiraf Tuanku Muhriz, letak jawatan’ – Loke cabar Exco Negeri Sembilan
September 17, 2026, 4:54 pm
Altimet gesa platform e-hailing, p-hailing perkenal kadar potongan lebih adil
September 17, 2026, 4:47 pm
Ab Rauf enggan campur tangan cadangan pembahagian kerusi DAP di Melaka
September 17, 2026, 4:41 pm
Mahdzir bidas PH, tegaskan pengampunan hak prerogatif Agong berteraskan Perlembagaan
September 17, 2026, 2:34 pm
Arus kuat di Crystal Bay, wanita Malaysia maut ketika selam skuba di Bali
September 17, 2026, 1:55 pm
‘Servis cepat, satu jam dah boleh dapat MyKad baru’ – Rakyat puji JPN bersedia awal urus pertukaran MyKad baharu
September 17, 2026, 1:54 pm
Polis siasat remaja 14 tahun pandu kereta rempuh dua kenderaan di Taman Chai Leng
September 17, 2026, 1:37 pm
Imigresen gempur premis kediaman dan perniagaan di Kluang, 25 warga asing ditahan
September 17, 2026, 1:25 pm
