Berita Berita
Bekas Panglima ATM didakwa empat pertuduhan rasuah, pecah amanah RM3 juta
KUALA LUMPUR 23 Jan - Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan, termasuk menggunakan kedudukan untuk menerima wang berjumlah RM752,481.90 serta satu pertuduhan pecah amanah membabitkan dana RM3 juta.
Mohd. Nizam, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), telah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berupa wang berjumlah RM552,481.90 bagi kepentingan diri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan melantik lima buah syarikat untuk menjalankan beberapa kerja pembekalan, antaranya pembekalan kain pelikat, tuala mandi dan beg galas bagi bungkusan barang Hari Raya tahun 2025.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, pada 24 Jun 2024 dan diklasifikasikan sebagai kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Nizam didakwa melakukan pecah amanah sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT dengan menyalahgunakan wang berjumlah RM3 juta milik tabung berkenaan untuk membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa sebagai Panglima Angkatan Tentera menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah, sedangkan tertuduh mengetahui individu berkenaan mempunyai kepentingan dalam urusan yang akan dijalankannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM180,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya memperoleh kebenaran Peguam Negara untuk mendakwa Mohd. Nizam susulan siasatan berkaitan Angkatan Tentera Malaysia.
Berita berkaitan
January 24, 2026, 8:53 pm
'Jangan kerja sebab 'viral' - Fadhlina tegas isu sekolah padat akan ditangani segara menyeluruh
January 24, 2026, 8:11 pm
Isu pemberian taraf PR, kewarganegaraan tidak boleh dipandang ringan - Sultan Pahang
January 24, 2026, 12:13 pm
Anwar beri amaran henti amalan kartel menekan rakyat
January 24, 2026, 10:52 am
Suami isteri maut, tak sempat selamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kudat
January 24, 2026, 12:44 am
'Lu sapa?' - Bos Mydin 'sound' Ahli Parlimen DAP
January 23, 2026, 8:45 pm
Mohamed Shamir dilantik Ketua Eksekutif baharu HRD Corp berkuat kuasa hari ini
January 23, 2026, 7:38 pm
Hati-hati, 10 ajaran sesat dikenal pasti bergerak aktif di Malaysia - JAKIM
January 23, 2026, 5:17 pm
'Saya akan bincang dengan Amirudin' - Anwar cadang projek ternakan babi Bukit Tagar dibatalkan
January 23, 2026, 2:54 pm
PTPTN kerjasama laksana pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin tegar
January 23, 2026, 2:45 pm
