TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga kenderaan hangus terbakar di terowong bawah Jalan Udini

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN 15 Mei – Tiga buah kenderaan dilaporkan musnah terbakar selepas terlibat dalam satu kemalangan di terowong bawah jalan Udini, Jalan Masjid Negeri, awal pagi tadi.

Insiden tersebut melibatkan sebuah lori yang dipercayai membawa muatan tiang konkrit, sebuah van pekerja, serta sebuah kereta.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi. Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak telah digerakkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.33 pagi.

Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut dilaporkan selamat. Berdasarkan rakaman video yang tular, kemalangan itu sebenarnya turut melibatkan tiga lagi kenderaan lain, namun kesemuanya berjaya dialihkan ke tempat selamat sebelum api merebak dengan marak.

Pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menghantar warden trafik bagi mengawal aliran lalu lintas dan menasihati orang awam supaya menggunakan laluan alternatif sehingga kawasan tersebut kembali selamat untuk dilalui. Kerja-kerja pemadaman sepenuhnya serta pembersihan sisa kemalangan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.

+ - reset