TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gajah Pygmy Borneo mati dibunuh, kepala dan gading dilarikan pemburu haram

By
|
Kongsi
image

KINABATANGAN 19 Mei – Angkara tamak, seekor gajah Pygmy Borneo jantan ditemukan mati dalam keadaan tragis dengan bahagian kepala dan gadingnya hilang, dipercayai akibat dilarikan oleh kumpulan pemburu haram di sebuah ladang berhampiran Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, pagi semalam.

Penemuan bangkai mamalia malang itu disedari oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi, sebelum laporan rasmi dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Sebelum insiden menyedihkan itu terbongkar, beberapa kakitangan ladang dilaporkan ada terdengar bunyi letupan kuat pada malam kejadian. Bagaimanapun, pemeriksaan terpaksa ditangguhkan keesokan harinya ekoran faktor cuaca hujan lebat yang melanda kawasan sekitar.

Hasil siasatan awal di lapangan oleh anggota Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mendapati gajah berukuran ketinggian 2.9 meter itu mengalami kecederaan parah di mana bahagian muka dan mulutnya dikesan telah dipotong secara kejam menggunakan peralatan tajam bagi menanggalkan gadingnya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin memaklumkan, setakat laporan awal diterima, tiada sebarang kesan tembakan dikesan pada struktur badan gajah tersebut, namun penilaian menyeluruh masih lagi dijalankan.

"Bedah siasat ke atas bangkai gajah masih dijalankan oleh JHL. Saya sudah meminta JHL untuk segera menjalankan siasatan terperinci, memperkukuh operasi penguatkuasaan dan rondaan, meneruskan kerjasama dengan polis serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi," katanya menerusi satu kenyataan.

Jafry turut memberikan amaran keras dan menegaskan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi, malah tindakan undang-undang yang paling tegas akan diambil terhadap mana-mana dalang yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan hidupan liar dilindungi itu.

+ - reset