TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar 13 tahun dikejarkan ke hospital termakan biskut beracun di kebun pisang di Chukai

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Julai - Belum lagi red kesedihan rakyat Malaysia terjadap nasib malang yang menimpa dua beradik di Kulim, Kedah yang maut selepas makan keropok yang campur dengan racun tikus, kini kes sama berlaku membabitkan seorang pelajar lelaki di Kampung Air Puteh, Chukai, Terengganu, kelmarin. 

Difahamkan, pelajar itu termakan biskut dicampur racun di sebuah kebun pisang. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, terpaksa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, Alias Saras, 57, mengesahkan kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu.

"Isteri saya, Roslina Ahmad, 52, ada menghubungi dan memaklumkan anak pengsan selepas termakan makanan beracun itu. 

"Syukur anak saya semakin pulih... saya harap dia cepat sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital," katanya.

Alias berkata, sebelum kejadian, anaknya bersama seorang rakan dalam perjalanan untuk memancing.

"Mungkin ketika melalui sebuah kebun pisang dan kelapa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, anak termakan makanan dicampur racun itu.

"Makanan itu mungkin tergantung di situ di atas sebatang kayu bagi tujuan menghalau kera dan monyet di kebun," katanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Minggu lalu, media melaporkan, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan jajan dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah. 

Makanan ringan digantung di pagar kebun itu dipercayai dicampur racun tikus, juga bertujuan untuk menghalau haiwan liar.

+ - reset