Berita Berita
Anwar tempelak pengkritik senyap selepas ringgit kukuh

PUTRAJAYA 20 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak yang hanya lantang mengkritik ketika prestasi ringgit merosot, namun berdiam diri apabila mata wang negara kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurut Anwar, rakyat perlu memahami bahawa prestasi ringgit banyak dipengaruhi oleh keadaan ekonomi global yang di luar kawalan kerajaan, namun kerajaan tetap komited dalam melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang mampan.
“Bila ringgit turun, dihentam pelbagai pihak kononnya kerajaan gagal. Sekarang ringgit naik, tiada pula yang puji. Itu logik yang tidak masuk akal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan pentingnya rakyat memberi kepercayaan kepada dasar ekonomi negara seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani, kerana ia dilakukan secara menyeluruh dan berlandaskan fakta ekonomi semasa.
Beliau turut memberi perbandingan prestasi ringgit terhadap dolar AS sejak tahun lalu. Pada tahun 2023, ringgit berada pada paras RM4.59, kemudian mengukuh kepada RM4.47 pada tahun 2024 dan terus mencatat pengukuhan pada suku pertama 2025 kepada paras RM4.43.
“Pada 18 Jun 2025, ringgit berada pada paras RM4.25, mengukuh sebanyak 5.2 peratus berbanding dolar AS. Malah, prestasi ringgit juga lebih baik berbanding mata wang serantau lain seperti rupiah Indonesia, renminbi China, peso Filipina, dolar Australia dan baht Thailand,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan ini bukan hanya disumbangkan oleh Kementerian Kewangan, tetapi turut melibatkan peranan penting Bank Negara, Perbendaharaan dan agensi berkaitan dalam mengurus serta menyelaras dasar fiskal dan kewangan negara.
Sementara itu, ringgit memulakan dagangan hari ini dengan prestasi yang terus mengukuh apabila mencatat paras 4.2490/2700 berbanding dolar AS pada pukul 8 pagi, berbanding penutupan 4.2590/2625 semalam.
Bagaimanapun, pelabur masih berhati-hati terhadap ketegangan geopolitik di Timur Tengah melibatkan konflik Israel-Iran yang dijangka memberi kesan kepada kestabilan pasaran global. – Media Telus
Berita berkaitan
June 20, 2025, 5:44 pm
Wan Rosdy: Keputusan DNAA terhadap Najib satu kemenangan moral
June 20, 2025, 5:25 pm
Pemuda UMNO dakwa pendakwaan terhadap Najib bermotif dendam, tiada bukti kukuh
June 20, 2025, 5:20 pm
Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentua
June 20, 2025, 5:20 pm
Kadar tarif elektrik 'lebih adil' menanti 23.6 juta pengguna Julai ini
June 20, 2025, 4:03 pm
Jalan licin, ambulans KKM terbalik dalam perjalanan ambil pesakit di Melaka
June 20, 2025, 3:44 pm
Mohd. Khalid dilantik Ketua Polis Negara ke-15
June 20, 2025, 3:31 pm