TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes dadah di Kelantan turun 5.4 peratus, bukti keberkesanan kawalan sempadan

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 20 Jun – Jumlah kes penyalahgunaan dan penagihan dadah di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak 5.4 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, berbanding tempoh sama tahun lalu, hasil daripada kawalan ketat di kawasan sempadan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebanyak 11,280 penagih dikesan dalam suku pertama tahun ini, berbanding 11,928 orang dalam tempoh yang sama tahun 2024.

“Kadar penagihan di Kelantan kini adalah 597 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 632 orang sebelum ini. Penurunan ini bukti keberkesanan penutupan ‘lubang tikus’ di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand serta kawalan ketat di pangkalan haram yang dimulakan sejak Disember lalu,” katanya pada sidang media di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana malam tadi.

Dadah jenis amphetamine-type stimulant (ATS) kekal menjadi pilihan utama penagih di Kelantan, mencatatkan 89.3 peratus atau seramai 10,071 orang daripada jumlah keseluruhan kes.

Shamsul Anuar bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun statistik menunjukkan perkembangan positif, pihaknya tidak akan mengambil mudah situasi semasa.

“Kita tidak boleh terlalu selesa kerana ini hanya suku pertama. Penguatkuasaan dan pencegahan akan terus diperhebat agar masalah dadah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.

Hadir sama pada program lawatan kerja itu ialah Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhammad.

Beliau turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan, sebanyak 108,409 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara sehingga Mac 2025 — penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 121,170 kes pada tempoh sama tahun lalu. – Media Telus

+ - reset