TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SST: Gula putih kekal bebas cukai, harga dijamin tidak naik – MOF

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Gula putih atau gula bertapis disahkan kekal tidak dikenakan cukai di bawah pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataannya memaklumkan, penegasan itu dibuat bagi meredakan kebimbangan berhubung kemungkinan kenaikan harga pasaran, susulan kenyataan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) mengenai kesan cukai jualan ke atas gula mentah.

Jelas MOF, kerajaan MADANI terus mengekalkan pendekatan bersasar dengan tidak mengenakan cukai terhadap barangan keperluan utama rakyat seperti beras, minyak masak, ayam, telur, daging, ikan, sayur-sayuran, garam dan gula bagi melindungi pengguna daripada bebanan kos.

Bagaimanapun, gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.

"Pengilang seperti MSM boleh memohon pengecualian cukai bagi bahan mentah dan input mereka," jelas kenyataan itu.

Menurut MOF, permohonan pengecualian cukai boleh dibuat menerusi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah Butiran 1, Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan daripada Pembayaran Cukai).

MOF turut memberi jaminan bahawa langkah bersesuaian telah dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang kesan kepada pengguna. Malah, insentif bulanan yang diterima pengilang daripada kerajaan juga menjadi faktor tiada alasan untuk sebarang kenaikan harga gula putih di pasaran.

+ - reset