TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib tidak dibenar buat laporan polis, Shafee salahkan Menteri Dalam Negeri

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyalahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana tidak memberi kebenaran kepada Datuk Seri Najib Razak untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Isnin lalu.

Menurut Shafee, pihak penjara tiada halangan membenarkan Najib membuat laporan tersebut, namun kebenaran tetap perlu diperoleh daripada menteri terbabit.

“Oleh sebab dia (Najib) tak boleh buat laporan sebab berada dalam penjara, jadi saya terpaksa buat laporan itu.

“Pihak penjara memang bermurah hati, dia tiada bantahan untuk Datuk Seri Najib membuat laporan polis, malangnya mereka perlu kebenaran orang atasan iaitu Menteri Dalam Negeri.

“Kita sudah tulis banyak kali kepada dia (Menteri) tapi tidak mendapat sebarang jawapan. Penjara pun kata kalau menteri kata okay, mereka tiada masalah,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Najib telah membuat laporan polis melalui Shafee terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh, berhubung dakwaan penafian terhadap kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong.

Dalam laporan tersebut, Najib mendakwa Terrirudin sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi dengan menyatakan bahawa titah tambahan diraja itu hanya bersifat spekulatif, sedangkan beliau sedar mengenai kewujudannya.

Ketika ditanya mengenai kandungan laporan itu, Shafee menjelaskan bahawa beliau tidak boleh mendedahkan butiran laporan kerana ia ditulis sendiri oleh Najib. – Media Telus

+ - reset