TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar arah jabatan kerajaan hentikan penggunaan makanan import dalam acara rasmi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 20 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak lagi menggunakan barangan import, khususnya makanan, dalam sebarang acara rasmi kerajaan sebagai langkah menyokong produk tempatan.

Anwar berkata, penggunaan hasil tempatan bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi domestik malah membuka lebih banyak peluang kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.

“Jika semua jabatan kerajaan ikut arahan ini, kita akan dapat cipta lebih banyak peluang kepada petani untuk membekalkan hasil tempatan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Beliau turut memberi contoh negara jiran seperti Laos, Vietnam dan Thailand yang konsisten menghidangkan makanan tempatan dalam semua acara rasmi kerajaan.

“Saya tidak pernah dihidangkan makanan import ketika menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan di negara-negara ini. Ia seolah-olah menjadi perkara automatik bagi mereka memastikan hanya makanan tempatan dihidangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur pihak tertentu yang masih memilih makanan import walaupun kerajaan telah menyatakan pendirian jelas mengenai keutamaan terhadap produk tempatan.

Beliau menyifatkan amalan itu sebagai tidak selari dengan usaha memperkasakan ekonomi tempatan dan menggesa penjawat awam serta pegawai kerajaan lebih peka terhadap kepentingan menyokong hasil tempatan. – Media Telus

+ - reset