Berita Berita
Kerajaan pertimbang benarkan rakyat guna akaun 2 KWSP bayar bulanan insurans kesihatan - Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR 20 Jun – Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk membenarkan rakyat menggunakan caruman Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membayar premium bulanan insurans kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu bakal membuka peluang kepada kira-kira 16 juta ahli KWSP untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta melalui perlindungan insurans yang dibiayai caruman mereka.
Menurut beliau, langkah ini adalah sebahagian pendekatan yang turut dipraktikkan di beberapa negara lain bagi memastikan majoriti rakyat memperoleh perlindungan insurans sewajarnya.
“Ketika ini, 32 peratus daripada kos penjagaan kesihatan di negara ini ditanggung sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans,” katanya dalam satu wawancara bersama TV3.
Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa skim ini akan diperkenalkan sebagai pilihan kepada rakyat dan bukannya diwajibkan.
“Satu peratus kecil digunakan untuk bayaran insurans ini. Rakyat tak rasa pun sebab bukan keluar daripada poket sendiri, sebaliknya daripada akaun KWSP. Ini langkah terbaik supaya rakyat kita ada perlindungan seperti di Singapura, tetapi kita tidak paksa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa skim baharu ini berbeza daripada i-Lindung yang ditawarkan bersama KWSP, kerana i-Lindung hanya melibatkan perlindungan hayat, penyakit kritikal dan keilatan, manakala skim ini menawarkan perlindungan insurans kesihatan yang lebih luas.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan bakal melancarkan inisiatif Rakan KKM seawal suku ketiga tahun ini bagi mengoptimumkan kapasiti hospital.
“Sebagai contoh, ada hospital seperti di Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai wad serta bilik bedah yang tidak digunakan kerana kekurangan kakitangan. Fasiliti ini kita panggil sebagai lebihan kapasiti,” ujarnya.
Setakat ini, empat hospital dikenal pasti akan terlibat dalam inisiatif tersebut iaitu Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Institut Kanser Negara (IKN).
“Bila lebih ramai pesakit memilih untuk ke Rakan KKM, maka lebih banyak ruang akan tersedia di hospital awam untuk golongan B40 dan penjawat awam,” tambahnya.
Dr Dzulkefly berkata, seramai 40 hospital awam dengan kapasiti 800 katil turut dikenal pasti untuk menyertai inisiatif Rakan KKM secara berperingkat, dengan pelaburan keseluruhan berjumlah RM85 juta termasuk suntikan RM25 juta di bawah Belanjawan 2025.
Berita berkaitan
June 20, 2025, 5:44 pm
Wan Rosdy: Keputusan DNAA terhadap Najib satu kemenangan moral
June 20, 2025, 5:25 pm
Pemuda UMNO dakwa pendakwaan terhadap Najib bermotif dendam, tiada bukti kukuh
June 20, 2025, 5:20 pm
Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentua
June 20, 2025, 5:20 pm
Kadar tarif elektrik 'lebih adil' menanti 23.6 juta pengguna Julai ini
June 20, 2025, 4:03 pm
Jalan licin, ambulans KKM terbalik dalam perjalanan ambil pesakit di Melaka
June 20, 2025, 3:44 pm
Mohd. Khalid dilantik Ketua Polis Negara ke-15
June 20, 2025, 3:31 pm