TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bakal pengantin ditemukan mati lemas lepas lebih beli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI, 29 Okt — Mayat seorang lelaki yang dilaporkan lemas selepas membeli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda pada Ahad lalu ditemukan di pantai berdekatan pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Wohd Zin, memaklumkan bahawa mangsa, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat terjatuh.

Operasi pencarian bermula jam 9.20 pagi dan mayat mangsa ditemukan oleh orang awam pada jam 11.50 pagi. "Mayat mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dan diserahkan kepada pihak PDRM pada jam 1.12 petang," katanya dalam satu kenyataan.

Usaha pencarian pada hari ketiga ini melibatkan pencarian di pesisir pantai dengan bantuan satu bot penyelamat serta lima anggota bomba, selain sokongan empat bot nelayan. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut dikerah dengan sebuah bot untuk operasi pencarian jarak 1.5 hingga 2 batu nautika.

Sebelumnya, pada Ahad sekitar jam 12 tengah hari, mangsa difahamkan berada di pesisir pantai Pasar Bisik untuk menunggu bot nelayan yang membawa muatan ikan sebelum dia terjatuh ke dalam laut dan hilang dari pandangan, dipercayai akibat dibawa arus deras.

Lebih memilukan, mangsa sempat menghubungi ibunya pada jam 11.30 pagi untuk memaklumkan kehadirannya di lokasi berkenaan. Anak sulung daripada tiga beradik itu juga sedang membuat persiapan akhir untuk majlis perkahwinannya yang dirancang berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi. - Media Telus

+ - reset