TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

IWK nafi air kumbahan punca banjir Taman Sri Muda

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun – Syarikat Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini menafikan dakwaan media tempatan yang mengaitkan air kumbahan sebagai punca kejadian banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut kenyataan IWK, dakwaan yang dilaporkan oleh portal SelangorKini itu tidak berasas selepas siasatan dilakukan oleh pasukan operasi IWK susulan aduan diterima daripada Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan.

“Pasukan kami menjalankan semakan dan mendapati punca utama limpahan dalam longkang serta parit adalah disebabkan kurangnya penyelenggaraan, termasuk mendapan pasir, timbunan sampah dan akar pokok yang menutupi saluran,” katanya.

Keadaan ini menyebabkan aliran air hujan dan air kumbahan terawat dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK) berhampiran tidak dapat mengalir lancar, sekali gus menyumbang kepada limpahan air di kawasan perumahan tersebut.

Tambah kenyataan itu, lokasi Taman Sri Muda yang rendah dan berhampiran dengan Sungai Klang turut menjadikannya kawasan berisiko tinggi mengalami banjir apabila hujan lebat melanda.

IWK turut menjelaskan bahawa sistem paip pembetungan dan LRK yang telah beroperasi lebih 30 tahun di kawasan itu dibina berdasarkan pelan pembangunan asal dan direka bentuk dengan spesifikasi teknikal yang teliti.

“Dua LRK jenis Aerated Lagoon (AL) di kawasan perumahan ini masih beroperasi pada kapasiti yang direka bentuk, tanpa bebanan berlebihan,” katanya lagi.

Kenyataan itu memaklumkan, semua penemuan serta semakan teknikal telah dikongsi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Ahli Majlis terlibat untuk tindakan lanjut. – Media Telus

+ - reset