TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditemui mati dibunuh di Ipoh, polis syak senjata tajam digunakan

By
|
Kongsi
image

IPOH 25 Jun – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Taman Tasek Damai, semalam, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan menggunakan senjata tajam.

Mangsa, dikenali sebagai Chang Kim Fuat, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di dapur kediamannya di Jalan Tawas Baru kira-kira jam 7.30 malam oleh anak lelakinya yang baru pulang dari kerja.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, anak mangsa menemui rumah dalam keadaan berselerak sebelum menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil siasatan awal forensik mendapati mangsa mengalami kesan tikaman di bahagian kanan abdomen serta kesan kelar di bahagian kanan dada,” katanya.

Polis turut menemui pisau pemegang kayu sepanjang kira-kira 22 sentimeter di dalam sinki dapur. Walaupun senjata itu dilihat telah dibasuh, ujian forensik mengesahkan terdapat kesan dipercayai berkaitan dengan kejadian.

Menurut polis, jiran terakhir melihat mangsa pada jam 11 pagi semalam, sedang merokok di luar rumah. Mangsa juga sempat membalas mesej anaknya pada 2.40 petang, namun tidak lagi menjawab mesej-mesej selepas itu.

Anaknya yang berasa curiga, pulang awal ke rumah dan mendapati pintu pagar tertutup tetapi pintu grill dan kaca terbuka, dengan perabot dalam rumah dalam keadaan tidak teratur.

“Apabila masuk ke dapur, anak mangsa menemui bapanya terbaring atas lantai dalam keadaan berlumuran darah,” jelas Abang Zainal.

Tiada barangan berharga dilaporkan hilang, namun sistem kamera litar tertutup (CCTV) rumah didapati tidak berfungsi semasa kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Setakat ini, motif kejadian masih belum dikenal pasti dan tiada tangkapan dibuat. Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan. – Media Telus

+ - reset