TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kematian Cikgu Lo tidak berkait pinjaman ah long – polis

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 25 Jun – Polis mengesahkan kematian guru wanita, Cikgu Lo Kwan Fong, 39, yang ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, di sini, pada 13 Jun lalu tidak mempunyai kaitan dengan pinjaman wang tidak berlesen (ah long).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut, selain wanita itu juga telah melunaskan pinjaman berjumlah RM20,000 yang dibuat sebelum ini.

“Mendiang ada buat laporan polis sebelum ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, namun selepas semua hutang diselesaikan, tiada lagi laporan dibuat.

“Tiada kes simbah cat atau ugutan direkodkan. Jiran juga mengesahkan tiada kejadian ah long datang ke rumah mendiang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Kumarasan, jasad mangsa ditemui duduk di dalam tandas di rumah yang berkunci dari dalam, manakala siasatan lanjut mendapati guru wanita itu dipercayai telah meninggal dunia lebih sebulan sebelum ditemui.

Katanya, berdasarkan semakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mendiang merupakan anak tunggal dan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia.

“Mayat mendiang masih belum dituntut dan akan diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk proses pengebumian selepas dua minggu.

“Difahamkan mendiang mempunyai seorang mak cik di Singapura, namun sehingga kini tiada maklumat diperoleh. Ada ibu bapa pelajar mendiang yang menyuarakan hasrat untuk bantu pengebumian,” katanya.

Tambah beliau, jiran-jiran memaklumkan bahawa Cikgu Lo seorang yang baik tetapi kurang bergaul dengan masyarakat setempat.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemui mati selepas jiran menghidu bau busuk dari rumahnya dan membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada malam 16 Jun.

Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik HSA mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat sudah mengalami penguraian lanjutan. – Media Telus

+ - reset