TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ditinggalkan di taska sejak Mac lalu, JKM Melaka cari waris Arisa

By
|
Kongsi
image

MELAKA 25 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka sedang berusaha mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Semabok sejak Mac lalu.

Menurut kenyataan JKM, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan menunjukkan bayi yang dianggarkan berusia tiga hingga empat bulan itu dihantar oleh sepasang lelaki dan wanita pada 17 Mac lalu.

“Bagaimanapun sehingga kini individu yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an itu masih tidak mengambil bayi terbabit yang kini dikenali sebagai Arisa.

“Ketika dihantar ke taska, Arisa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan sehingga kini masih belum diambil semula,” menurut kenyataan itu, hari ini.

JKM memaklumkan bayi berkenaan kini berada di bawah jagaan pihak mereka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001.

Sehubungan itu, JKM Melaka menyeru ibu kandung atau waris bayi tersebut segera tampil membantu proses kebajikan bayi dengan menghubungi Pelindung Kanak-kanak atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah di talian 06-3333333.

+ - reset