TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru kahwin 6 bulan, suami didakwa pukul isteri guna kerusi

By
|
Kongsi
image

MUAR 25 Jun – Seorang lelaki yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan kerusi meja solek, dipercayai akibat cemburu, pada 20 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hamirullah Hadi Mohd Hamidi, 28, yang bekerja sebagai penjual burger, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 28 tahun menggunakan kerusi meja solek, di sebuah rumah di Taman Damai, Sungai Abong, kira-kira 8.30 pagi.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini dan dipercayai bertindak agresif selepas cemburu terhadap isterinya yang bekerja di sebuah kafe.

Menurut laporan, tertuduh memukul mangsa menggunakan kerusi sehingga menyebabkan kecederaan di muka, badan dan tangan wanita itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh diwakili peguam Fatimah Zahrah Azmi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, khususnya mangsa, sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan rasmi peguam tertuduh. – Media Telus

+ - reset