TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Banjir di Johor: 10 PPS dibuka, 893 mangsa dipindahkan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 20 Mac - Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Johor setakat jam 8 pagi tadi selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir di tiga daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, memaklumkan bahawa seramai 893 mangsa daripada 257 keluarga telah dipindahkan ke PPS yang disediakan.

“Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 567 orang, diikuti Kulai (269) dan Pontian (57),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga sungai di negeri itu dilaporkan melebihi paras bahaya, iaitu Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dengan bacaan 20.85 meter, Sungai Skudai di Kampung Laut (4.24 meter) dan Parit Keliling di Kampung Pasir (1.01 meter).

Keadaan cuaca di kesemua 10 daerah di Johor diramalkan hujan pagi ini.

Banjir di Sabah: 4 PPS Dibuka di Sandakan dan Beluran

Sementara itu, di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan bahawa empat PPS telah dibuka susulan banjir yang melanda Sandakan dan Beluran.

Di Sandakan, PPS dibuka di Masjid Nur Iman dan Masjid Nur Hidayah, manakala di Beluran, penduduk terjejas dipindahkan ke Dewan Kampung Sungai Nangka dan Dewan Kampung Balaban.

“Setakat jam 8 pagi, proses pemindahan penduduk ke PPS masih berlangsung dan jumlah mangsa yang dipindahkan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Ketika ini, kedua-dua daerah di pantai timur Sabah masih mengalami hujan renyai. - Media Telus

+ - reset