TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MEF gesa kerajaan benarkan pelarian kerja dalam sektor formal

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan merangka satu kerangka jelas dan bertanggungjawab bagi membolehkan pelarian serta pemohon suaka diserap bekerja dalam sektor formal di negara ini.

Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu boleh menjadi strategi menang-menang, membantu mengatasi masalah kekurangan buruh selain mencerminkan komitmen Malaysia terhadap nilai kemanusiaan.

“Kami menggesa kerajaan bekerjasama dengan pemegang taruh termasuk majikan, kesatuan sekerja, NGO serta pertubuhan antarabangsa untuk membangunkan rangka kerja yang menetapkan status dan permit kerja sah, hak pekerja, tanggungjawab majikan serta mekanisme pemantauan.

“Kerangka itu juga perlu merangkumi proses tapisan, pemadanan pekerjaan, latihan serta pensijilan kemahiran yang diiktiraf bagi menjamin penempatan produktif,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, integrasi pelarian dan pemohon suaka ke dalam pasaran buruh boleh membantu sektor pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan penjagaan yang kini berdepan kekurangan pekerja.

Syed Hussain menambah, memanfaatkan tenaga kerja sedia ada dalam negara bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos, malah jika 30% hingga 40% daripada golongan ini diberi akses ke pasaran formal, ia boleh menyediakan tambahan 55,000 hingga 75,000 tenaga kerja.

MEF turut menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak berkuasa berhubung cadangan tersebut.

Terdahulu, pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kerajaan sedang meneliti mekanisme yang sesuai bagi membolehkan pelarian berdaftar dengan UNHCR bekerja secara sah di negara ini.

Untuk rekod, Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 atau protokol berkaitan 1967, menyebabkan pemegang kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja dalam sektor tidak formal atau pekerjaan rencam.

+ - reset