TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua lelaki miliki 41 rekod jenayah ditahan kes pecah rumah

By
|
Kongsi
image

SERDANG 17 Jun – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang masing-masing memiliki 41 rekod jenayah lampau, selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Bandar Putra Permai, di sini pada 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian disedari mangsa pada 8 Jun apabila mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak setelah pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang.

“Pengadu memaklumkan rumah ditinggalkan dalam keadaan berkunci jam 7 pagi sehari sebelum itu. Namun, ketika pulang, beliau mendapati pagar telah terbuka, mangga pintu diumpil dan jeriji besi telah dicabut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barangan telah hilang termasuk sebuah kereta jenis Proton Persona, wang tunai RM7,000, tiga beg berjenama, dua komputer riba, seutas jam tangan, cermin mata serta barang kemas yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM42,200.

Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan dua suspek berusia 38 dan 44 tahun di Klang pada Rabu lalu.

“Kita turut merampas kereta milik mangsa, alat walkie talkie, sarung tangan, komputer riba, telefon bimbit dan beberapa alatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pecah rumah,” katanya.

Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – Media Telus.

+ - reset