TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Terpaksa guna SMS kerana komunikasi digital disekat - Duta

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 17 Jun – Ketegangan yang memuncak di Iran susulan serangan balas oleh Israel telah memaksa penduduk di negara itu kembali menggunakan kaedah komunikasi lama seperti Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bagi berhubung dengan ahli keluarga dan pihak berkepentingan.

Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar memaklumkan, sekatan terhadap perkhidmatan perayauan dan aplikasi WhatsApp menyebabkan komunikasi digital tergendala, sekali gus menyulitkan hubungan dengan dunia luar.

“Di Iran, komunikasi SMS masih berfungsi antara nombor tempatan. Tapi kalau kita nak hubungi dari sini (Malaysia) ke nombor Iran, tidak dapat kerana perkhidmatan perayauan telah ditutup.

“Tetapi dari Iran untuk panggilan keluar masih boleh. Jadi kita terpaksa guna cara lama seperti mesej teks,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di tanah air malam tadi bersama 24 individu lain yang dibawa keluar dari Iran.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam tanggungan warga Iran serta seorang warga Singapura.

Khairi menjelaskan, sekatan terhadap WhatsApp masih berkuat kuasa dan hanya dibenarkan digunakan secara terhad bagi memastikan maklumat berkaitan keselamatan tidak tersebar kepada umum.

Katanya, situasi keselamatan di Iran pada peringkat awal serangan sangat tidak menentu dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk tempatan serta warga asing.

“Selepas dua hari, kita mula nampak pola serangan – waktu malam agak dahsyat, tapi siang seperti ada persetujuan untuk tidak menyerang.

“Sasaran serangan pun dikenal pasti, biasanya kemudahan ketenteraan. Tapi suasana tetap berjaga-jaga. Kalau berada di tempat dan waktu yang salah, sesiapa pun boleh jadi mangsa,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengarahkan penutupan sementara operasi Kedutaan Malaysia di Iran dan memanggil pulang semua petugas diplomatik susulan krisis keselamatan yang semakin meruncing.

Sementara itu, seorang peniaga, Fadhil Yusni, 33, melahirkan rasa syukur selepas berjaya disatukan semula dengan isterinya, Zainab Ganood, warga Iran yang terkandas di negara itu ketika melawat keluarga.

“Sepanjang konflik, saya panik sebab tak dapat hubungi isteri. Alhamdulillah malam ini saya lega, terima kasih kepada kerajaan dan Wisma Putra kerana membawa pulang isteri saya.

“Kini saya sedang ikhtiar bawa keluar ahli keluarga isteri yang masih berada di Iran,” katanya.

Konflik Iran-Israel tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang kemudiannya dibalas oleh Tehran dengan serangan balas. – Media Telus.

+ - reset