Berita Berita
Polis kesan makin ramai salah guna 'dadah zombie' hasil daripada analisis air kumbahan
BANGI 26 Mac - Dadah jenis 'fentanyl', yang dikenali sebagai dadah zombie, kini semakin meluas penggunaannya di negara ini, berdasarkan hasil analisis air kumbahan di sekitar Lembah Klang dan Johor.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata penggunaan 'fentanyl' mula dikesan di Lembah Klang melalui analisis sampel air kumbahan, sebelum diperluaskan ke Johor.
Beliau menyatakan bahawa sampel dari Johor juga mengandungi 'fentanyl', yang menunjukkan peningkatan penggunaan dadah tersebut.
"Ini baru analisis di Lembah Klang dan Johor, dan kita belum melakukan analisis di seluruh Malaysia," jelasnya.
Kerjasama penyelidikan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains forensik telah menghasilkan penemuan ini, termasuk dadah psikoaktif baharu yang lebih sukar dikesan.
Ayob Khan berkata demikian semasa majlis Pelancaran Peralatan Kerjasama Penyelidikan PDRM-UKM Bruker timsTOF Pro 2 Mass Spectrometer di Makmal Forensik, Jabatan Sains Kesihatan, UKM.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani, dan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Mohammad Kassim.
Mengulas lebih lanjut, Ayob Khan memaklumkan bahawa kerjasama PDRM dan UKM sejak Oktober 2022 telah menghasilkan beberapa pencapaian penting.
Dalam Pakej Kerja 1, analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya mengesan methamphetamine dan 'fentanyl', yang menunjukkan kemungkinan kewujudan makmal memproses dadah di kawasan tersebut.
Pakej Kerja 5 pula berjaya menghasilkan kit ujian biosensor yang lebih cepat, mengurangkan masa untuk mendapatkan keputusan ujian urin daripada dua hari kepada hanya 20 saat.
Peningkatan teknologi ini, menurut Ayob Khan, membantu mempercepatkan proses siasatan dan pendakwaan, selain meringankan beban kerja Jabatan Kimia.
Pakej Kerja 2 dan Pakej Kerja 6 pula bertujuan untuk menilai kesan kadar dos terhadap tingkah laku dan kesihatan otak haiwan, serta mengumpul sampel air kumbahan untuk mengesan kepekatan dadah, yang digabungkan dengan sistem maklumat geografi (GIS) untuk profil demografi penduduk.
Ayob Khan juga menegaskan bahawa kerjasama antara PDRM dan UKM akan diteruskan bagi membendung kegiatan haram berkaitan dadah.
Beliau memberi contoh serbuan baru-baru ini terhadap sebuah makmal dadah di Selangor yang dikendalikan oleh sembilan warga asing dari China.
"Ini menunjukkan tren dadah yang semakin membimbangkan, dengan makmal yang dikendalikan oleh warga asing yang memiliki kepakaran serta bahan asing baharu untuk menghasilkan dadah jenis baru," katanya.
Selain itu, Ayob Khan turut menyatakan bahawa sembilan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah dipilih untuk menjalankan penyelidikan separuh masa di bawah bimbingan pakar dari UKM.
Mereka ini akan diiktiraf sebagai pakar rujuk subjek (SME) dalam bidang narkotik.
Berita berkaitan
April 30, 2026, 8:51 pm
KESUMA jamin kebajikan pekerja kekal terpelihara hadapi ketidaktentuan global
April 30, 2026, 6:59 pm
DAPSY 'menekan', Akmal Salleh cabar pecat semua menteri UMNO, bukan Tok Mat sahaja
April 30, 2026, 4:18 pm
Muhammad Gaddafi Musli dilantik CEO baharu SSDU bermula 4 Mei
April 30, 2026, 2:24 pm
10 rakyat Malaysia termasuk ZRA sertai misi GSF 2.0 ditahan Israel di Perairan Crete
April 30, 2026, 10:35 am
