TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Komuniti Myanmar berkumpul hargai keberanian pasukan SMART Malaysia dalam misi gempa bumi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 8 April - Komuniti Myanmar di Malaysia berkumpul di Ibu Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Subang pada Isnin bagi menyampaikan penghargaan atas sumbangan besar pasukan itu dalam misi bantuan kemanusiaan di Myanmar yang dilanda gempa bumi.

Wakil daripada pelbagai etnik minoriti menghadiahkan bunga dan selendang tradisional kepada anggota SMART sebagai simbol penghormatan dan terima kasih. Mereka juga mengangkat sepanduk yang tertera ucapan selamat pulang dan penghargaan atas keberanian pasukan itu membantu rakyat Myanmar dalam saat genting.

Pasukan SMART berlepas ke Nay Pyi Taw pada 30 Mac untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas gempa bumi kuat menggegarkan negara tersebut. Sepanjang misi, mereka berhadapan dengan cabaran besar seperti gegaran susulan, serangan udara tentera serta ancaman periuk api. Namun, usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menemukan tujuh mangsa, termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan.

Wakil Gabungan Etnik Burma Malaysia (COBEM), James La Seng, menzahirkan rasa terharu atas pengorbanan pasukan SMART yang sanggup meninggalkan keluarga dan menyambut Hari Raya di kawasan bencana demi menyelamatkan nyawa. Beliau turut memuji kerajaan Malaysia atas komitmen bantuan kemanusiaan berjumlah RM10 juta kepada Myanmar, yang disifatkan sebagai lambang kepimpinan dan solidariti serantau menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.

Komuniti Myanmar di Malaysia, yang sebahagian besarnya merupakan pelarian dan pencari suaka susulan rampasan kuasa tentera 2021, juga turut berganding bahu mengumpul dana melebihi RM90,000 untuk disalurkan melalui pertubuhan bukan kerajaan yang aktif di kawasan terjejas.

Menurut wakil pelarian, Jaw Tu Hkawng, komuniti mereka berasa sangat terharu dengan bantuan yang dihulurkan Malaysia ketika rakyat mereka di tanah air sedang menderita akibat konflik dan bencana. - Media Telus

+ - reset