TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Imigresen gempur Hentian Kajang, tahan 288 PATI

By
|
Kongsi
image

 

 

KAJANG, 11 April – Seramai 288 pendatang tanpa izin ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Hentian Kajang malam tadi, atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 242 lelaki dan 46 wanita warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Nepal, India, Sri Lanka dan Sudan.

Operasi yang bermula jam 7.30 malam itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), dengan pemeriksaan dilakukan terhadap 785 warga asing dan 250 warga tempatan di enam blok bangunan rumah kedai lima tingkat yang menempatkan pelbagai premis perniagaan serta kediaman pekerja asing.

"Semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun dan disyaki melakukan kesalahan seperti tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa, serta menggunakan kad pengenalan yang tidak diiktiraf," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan malam tadi.

Jafri menjelaskan, kebanyakan pendatang yang ditahan bekerja di premis makanan dan kilang di sekitar kawasan tersebut. Kesemua mereka dibawa ke Jabatan Imigresen Putrajaya untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih.

Menurutnya lagi, ada antara warga asing yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi di dalam tandas dan siling bangunan.

Malah, pihaknya turut mengesan individu yang dipercayai bekerja di sebuah premis perjudian di bangunan berkenaan.

“Kami akan jalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti kewujudan aktiviti perjudian yang menggunakan pendatang tanpa izin sebagai pekerja,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau memberi amaran kepada majikan agar tidak menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin.

Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), jika didapati bersalah.

 

+ - reset