TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

SPRM siasat semula kes pencerobohan hutan di Raub dipercayai ada unsur rasuah - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berkaitan isu pencerobohan kawasan hutan di Sungai Ruan, Raub yang dipercayai melibatkan unsur rasuah dan tatakelola lemah di peringkat pentadbiran tanah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, satu kertas siasatan pernah dibuka berkaitan isu tersebut pada tahun 2021, dan beliau kini telah mengarahkan SPRM Pahang untuk menyambung siasatan bagi menyeluruhkan aspek rasuah serta kecuaian pentadbiran.

“Saya telah arahkan SPRM Pahang untuk teruskan siasatan, kita lihat dua perkara. Satu, isu-isu rasuah. Bagaimana penerokaan haram boleh dilakukan dalam tempoh-tempoh tertentu.

“Kedua, isu tatakelola yang diamalkan di pejabat tanah dan galian. Siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh SPRM Pahang berhubung hal ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen CeIO kali ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai tindakan SPRM terhadap pencerobohan tanah milik kerajaan negeri yang dipercayai dijadikan ladang secara haram di Raub.

Sebelum ini, beberapa pekebun dilapor bertindak menghalang laluan serta membawa kain rentang bagi menyuarakan bantahan terhadap tindakan penguat kuasa yang memusnahkan tanaman mereka, namun keadaan dilaporkan terkawal tanpa kejadian tidak diingini.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Pahang menafikan dakwaan melanggar perintah mahkamah dalam tindakan penguatkuasaan yang melibatkan penebangan kira-kira 200 pokok durian Musang King di Sungai Klau pada 8 April lalu.

Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Rabu lalu bertitah agar tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan negeri.

Baginda turut menyeru rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ dalam menyalurkan maklumat berkaitan isu pencerobohan tanah di negeri ini.

+ - reset