TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sultan Pahang nasihat pengusaha jaga kualiti, jangan jual ikan patin 'celup'

By
|
Kongsi
image

TEMERLOH 22 April – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan para pengusaha ikan sangkar terutamanya yang menternak ikan patin agar menjaga kualiti hasil ternakan supaya imej daerah Temerloh yang sinonim dengan hidangan tersebut tidak terjejas.

Titah baginda dibuat susulan dakwaan berkaitan kemasukan ikan patin luar termasuk dari kolam yang diklon dan dibawa masuk ke daerah ini.

"Jangan jual ikan patin celup atau klon kerana orang datang ke sini untuk rasa hidangan ikan patin tempatan yang asli.

"Jangan pendekkan rezeki orang lain dan juallah ikan patin dengan jujur," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas mencemar duli berangkat ke Karnival Patin dan Sukan Rakyat yang berlangsung di Dataran Temerloh, bersempena program Kembara Pahang 1.0 di daerah ini pada Isnin. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Alam Shah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menyambut baik cadangan memperkenalkan sistem pensijilan bagi pengusaha ikan patin sangkar di Temerloh sebagai langkah menangani isu pengklonan ikan dari luar yang boleh menjejaskan keaslian spesies tempatan.

Baginda turut meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat rakyat terhadap program kembara itu meskipun cuaca yang tidak menentu.

"Alhamdulillah sambutan diberikan begitu baik dan saya berterima kasih kepada semua yang sanggup menunggu walaupun dalam cuaca panas mahupun hujan.

"Saya memuji semangat mereka dan diharap ia berterusan bagi memeriahkan lawatan ini sehingga akhir," titah baginda.

Menurut baginda lagi, objektif utama kembara yang melibatkan empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan ini adalah untuk menyantuni rakyat selain melihat sendiri kawasan yang belum pernah dilalui.

"Saya hendak tengok kawasan-kawasan yang saya tidak pernah sampai, contoh tadi laluan di tepi sungai semua itu, saya juga ingin melihat status keadaan jalan di sana sama ada elok atau tidak," titah baginda.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan program ini dijadikan acara tahunan, Al-Sultan Abdullah memaklumkan perkara itu akan dikaji.

"Saya akan kaji, mungkin dua tahun sekali dan akan melawat kawasan-kawasan lain pula," titah baginda.

Kembara ini akan diteruskan ke daerah Bera pada Selasa sebelum berakhir di Pekan pada Rabu. Pelbagai acara turut memeriahkan program berkenaan termasuk kurniaan kepada golongan asnaf, kenduri rakyat serta penyerahan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa).

+ - reset