Berita Berita
FOMCA: Vape ancam kesihatan, keselamatan negara, bukan sekadar perniagaan

KUALA LUMPUR 2 Mei - Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi amaran bahawa industri vape bukan sekadar perniagaan biasa, tetapi merupakan wajah baharu industri tembakau global yang kini mengancam kesihatan awam dan keselamatan negara.
Dalam kenyataannya, FOMCA mendedahkan lebih 90 peratus pasaran dan pengeluaran produk vape di Malaysia dikawal oleh entiti yang mempunyai kaitan langsung dengan syarikat tembakau antarabangsa.
“Industri ini menyamar sebagai pembela perusahaan tempatan, namun sebenarnya mengeksploitasi sentimen nasional untuk menggagalkan dasar kesihatan awam negara,” tegas FOMCA.
Vape Sebagai Medium Dadah dan Ketagihan Generasi Muda
FOMCA turut menyokong pendedahan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, mengenai taktik sindiket dadah yang menyusup ke dalam pasaran vape untuk menyalurkan bahan terlarang secara tersembunyi.
“Produk vape dengan reka bentuk menarik kini disasarkan kepada remaja dan kanak-kanak, menjadikan ia alat ketagihan berganda – nikotin dan dadah,” jelas FOMCA.
Amaran ini hadir ketika data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan kadar merokok di Malaysia kekal tinggi pada 19 peratus, jauh daripada sasaran 15 peratus menjelang 2025 seperti terkandung dalam Pelan Strategik Kawalan Tembakau 2021–2030.
Gesaan Haramkan Vape
FOMCA menggesa kerajaan mengambil tindakan segera termasuk mengharamkan penjualan vape, serta memperketat kawalan bahan melalui undang-undang farmasi dan narkotik.
“Vape bukan isu gaya hidup – ia adalah cabaran keselamatan negara. Jika tidak dikawal, Tobacco Endgame 2040 hanyalah tinggal retorik,” kata FOMCA sambil menyeru seluruh masyarakat termasuk media, pengguna dan pembuat dasar agar tidak terpedaya dengan naratif kononnya industri vape menyumbang kepada ekonomi tempatan. - Media Telus
Berita berkaitan
June 17, 2025, 11:38 am
'Tiada keperluan rombak Kementerian Ekonomi, selamat maju jaya Rafizi' - Anwar
June 17, 2025, 11:02 am
Selamba ceroboh rumah pemilik, polis tahan ejen tarik kereta di Sungai Petani
June 17, 2025, 10:59 am
Pemuda maut motosikal terbabas langgar tiang elektrik
June 17, 2025, 10:41 am
Perikatan Nasional gesa ketelusan dalam pelantikan hakim Persekutuan
June 17, 2025, 10:40 am
Bekas Presiden MIC, G Palanivel meninggal dunia
June 17, 2025, 10:29 am
Keluar main seorang diri, budak 3 tahun ditemukan lemas dalam parit sawah di Besut
June 17, 2025, 10:15 am