Berita Politik
Rayuan ditolak, Nik Nazmi, Akmal Nasrullah, Chean Chung kekal tewas pemilihan PKR

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Beberapa pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disahkan gagal mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan peringkat Cabang 2025, meskipun telah mengemukakan rayuan berikutan kekalahan mereka sebelum ini.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa selepas tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki. Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar memperoleh 563 undi (47.15 peratus), manakala Afdlin meraih 631 undi (52.85 peratus).
Turut tewas ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang kalah kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail bagi jawatan Ketua Cabang Johor Bahru. Akmal, yang juga Pengarah Strategi PKR, memperoleh 587 undi (45.12 peratus), berbanding Taufiq dengan 709 undi (54.88 peratus).
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, gagal menewaskan penyandang Hee Loy Sian dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya selepas hanya memperoleh 2,684 undi (48.07 peratus), manakala Hee mendapat 2,900 undi (51.93 peratus).
Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, turut kecundang dalam saingan Ketua Cabang Sungai Siput apabila tewas kepada K Novinthen dengan 357 undi (47.86 peratus) berbanding 389 undi (52.14 peratus).
Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menerima beberapa rayuan berkaitan pemilihan di peringkat Cabang, termasuk daripada beberapa pemimpin utama parti. Hasil semakan dan pertimbangan, pemilihan semula telah diadakan di empat Cabang iaitu Selayang, Jempol, Silam dan Pasir Salak.
Pemilihan semula menyaksikan perubahan keputusan bagi tiga Cabang – ADUN Rawang, Chua Wei Kiat memenangi jawatan Ketua Cabang Selayang; Manivanan Gowin, Setiausaha Politik Presiden PKR, menang di Jempol; dan Hisamuddin Ali berjaya di Pasir Salak. Sementara itu, keputusan di Cabang Silam kekal memihak kepada Romansa Lamin.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa keputusan muktamad itu dimuktamadkan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menerima pembentangan laporan daripada JPP serta audit digital oleh pihak ketiga antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kongres Tahunan PKR yang akan berlangsung di Johor Bahru dari 22 hingga 24 Mei ini bakal menyaksikan pelaksanaan sistem perwakilan berasaskan konsep representasi berkadar atau Proportionate Representation. Melalui sistem ini, calon Ketua Cabang yang tewas masih boleh menghantar wakil ke Kongres, berdasarkan peratusan undi yang diperoleh dalam pemilihan.
Fuziah berkata prinsip “yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua” akan menyemarakkan lagi proses demokrasi dalam parti.
Sebagai persiapan menjelang Kongres, ibu pejabat PKR akan menganjurkan Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara untuk memberi penerangan menyeluruh kepada perwakilan serta memberi ruang kepada calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk memperkenalkan diri.
Berita berkaitan
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm
Kerjasama PH-BN dijangka hasilkan kemenangan besar di PRN Sabah – Asyraf Wajdi
July 14, 2025, 12:12 pm
Anggota parti perlu bertanggungjawab, elak cetus persepsi negatif – Ketua AMK
July 11, 2025, 12:45 pm
'Nak mati dalam bertugas' - Abdul Hadi sahkan pertahan jawatan Presiden PAS
July 10, 2025, 4:00 pm
MCA yakin mampu raih semula sokongan komuniti Cina pada PRU16
July 9, 2025, 4:29 pm
Amanah sedia ada sudah berat, Ahmad Samsuri tolak bertanding jawatan Presiden PAS
July 9, 2025, 12:51 pm
Tiada jawatan rasmi pun Nurul Izzah terus komited bantu masyarakat India - Pravin Murali
July 8, 2025, 9:11 pm
'Nak bising boleh, tapi jangan fitnah' - Ramanan nafi dakwaan PKR tidak stabil
July 7, 2025, 11:34 am
Shahril kekal dengan keputusan enggan rayu penggantungan keahlian UMNO
July 5, 2025, 4:53 pm