TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Afdlin Shauki kesal diperlekeh Rafizi, tegaskan kemenangan hasil suara akar umbi

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 13 Mei - Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa memperlekeh kemenangannya dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Dalam kenyataan terbuka di Facebook, Afdlin menyifatkan kenyataan Rafizi yang menyebutnya sebagai "pelawak profesional" dalam satu program podcast sebagai tidak wajar, meskipun mungkin dimaksudkan secara berseloroh. Katanya, kenyataan itu memberi kesan langsung kepada beliau dan juga penyokong akar umbi yang memberikan mandat kepadanya.

Afdlin, yang berjaya menewaskan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, menegaskan bahawa latar belakangnya dalam dunia seni bukan alasan untuk meremehkan kemampuannya sebagai pemimpin.

Beliau menyatakan bahawa seni bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya memainkan peranan membentuk minda dan menyampaikan mesej yang jujur kepada masyarakat. Afdlin menambah bahawa beliau tidak malu dengan identiti sebagai pelawak, pengarah, penerbit dan aktivis sosial, kerana itulah sumber rezekinya selama lebih tiga dekad.

Namun menurut beliau, apabila label tersebut digunakan untuk mempertikaikan kelayakan dan mandat yang diberikan oleh ahli parti, ia menimbulkan persoalan tentang keadilan terhadap suara akar umbi.

Katanya, beliau menyertai PKR bukan ketika parti berada di puncak, tetapi semasa ramai yang berundur selepas kekalahan besar susulan peristiwa Langkah Sheraton. Beliau menyatakan bahawa seluruh pasukan pimpinannya di Setiawangsa turut memenangi pemilihan, membuktikan kepercayaan menyeluruh daripada anggota cabang.

Afdlin turut menegaskan bahawa beliau tidak mengejar imej, tetapi ingin membawa nilai kemanusiaan dalam kepimpinan politik. Katanya, seni dan politik adalah dua bidang yang mampu menyentuh nurani rakyat dan beliau mahu menjadi jambatan antara kedua-dua dunia itu.

Beliau menolak anggapan bahawa bukan dari "kilang politik" menjadikan seseorang kurang layak, sebaliknya menyeru agar kepelbagaian latar belakang dalam parti diraikan dan tidak diperkecilkan.

Afdlin menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Rafizi, demi mengukuhkan cabang dan memperkasakan parti. Namun, beliau menegaskan tidak akan berdiam diri sekiranya integriti serta mandat yang dipikul cuba diperlekeh secara sinikal.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan seruan agar PKR terus menjadi medan perjuangan yang inklusif kepada anak muda, profesional, seniman dan rakyat biasa, bukannya gelanggang sindiran dalam kalangan pemimpin sendiri. - Media Telus

+ - reset